Kredit :- http://khairulabdullah.com/backpacker-sejati-vs-backpacker-klon/

 

Nampaknya, terma “backpacker” sudah mula meresap masuk dan diterima di kalangan rakyat Malaysia. Semua orang kalau boleh nak backpacking bila travel. Perniagaan travel agent atau agensi pelancongan dah makin merosot nampaknya, sebab orang dah tak mahu pergi ramai-ramai dengan pakej yang dikira agak mahal.

Baguslah begitu.

Namun, di dalam keghairahan menggunakan terma backpacker, apakah kita tahu maksud sebenar terma tersebut? atau kita ambil secara harfiah atau literal sahaja? Ramai beranggapan, pergi travel galas beg besar dah kira jadi backpacker. Tak kisahlah pergi dengan rombongan besar, pergi dengan seorang kepala atau travel guide dan yang lain ramai-ramai mengikut. Atau pergi berdua atau bertiga bersama rakan atau ahli keluarga. Asal tak pergi dengan ejen atau pakej jer maka dikira backpack dah.

Sekarang dah jadi trend.

Dah mudah beli tiket online, book hotel online, maklumat pun banyak online. Maka berbondong-bondonglah anak-anak muda, adik, kakak, abang semua nak travel secara backpacking. Sesetengahnya tak tahu apa pun, yang dia tahu pergi sendiri dan bukannya dengan ejen dikira sebagai backpacking.

Itu adalah terma yang sering digunapakai. Saya sering menjawab pelbagai pertanyaan dari mereka yang nak berjinak nak menjadi backpacker ni. Bila di tanya dan diselidik, ramai yang mengaggap pergi bukan dengan travel agent dikira sebagai backpacker dah. Maka ada yang kononnya nak pergi secara backpacking tetapi membawa trolley bag dan memakai kasut tumit tinggi bagi perempuan dan memakai kasut kulit hitam bagi lelaki. Maka travel lah mereka sebagai “backpacker” kononnya. Tidur di hotel yang best, makan di restoran yang best dan paling best sekali adalah shopping. Bila nak balik beli lagi beg tambah untuk letak barang-barang shopping. Itu kita panggil “Flashpacking” dan anda adalah “flashpacker” bukannya backpacker.

Ada juga pakej backpacking sekarang ni. Ada seorang yang macam dah biasa atau terrer maka dibuatnya satu trip yang dia uruskan itinerari atau jadual perjalanan termasuk tempat tinggal samada hotel, hostel, homestay dan sebagainya. Memandangkan semuanya menggalas backpack maka dipanggillah trip tersebut sebagai trip backpacker. Saya juga perasan yang travel agent pun ada buat pakej backpacking dah.

Untuk menjadi backpacker, ianya lebih dari itu dik.

Kalau anda pergi travel sendiri, maka bagitaulah yang anda pergi sendiri dan bukannya backpacking. Kalau anda pergi ramai-ramai tetapi menggalas backpack, makan bajet, tempat tidur bajet namun orang lain yang bawak tunjukkan jalan dan sebagainya, bolehlah anda gelarkan diri anda backpacker – namun bukan backpacker sejati. Itu backpacker jadian atau klon, bolehlah buat permulaan sebelum menjadi backpacker sejati.

Untuk jadi backpacker sejati dik, ada beberapa kriteria penting yang mana kalau sepadan maka barulah boleh claim yang anda seorang backpacker. Antaranya:-

  • Anda buat perancangan dan uruskan sendiri semua itinerari anda. Anda pergi biasanya seorang, berdua, bertiga, berempat sahaja.
  • Anda pergi banyak tempat dalam tempoh yang lama.
  • Takde travel guide atau orang yang lebih terrer yang tunjukkan anda itu dan ini begitu dan begini.
  • Anda biasanya tidur di hostel sahaja, itu paling mewah. Kebiasaannya anda cari peluang untuk tidur percuma, seperti di airport, di dalam bas atau keretapi atau menumpang di rumah orang tempatan ataupun couchsurfing.
  • Anda makan makanan yang sama hampir setiap hari. Roti, maggi, roti, maggi, kebab dan ulang semula.
  • Bagi orang melayu, stok makanan yang mendominasi 3/4 daripada backpack anda. Pakaian hanya 1/4 sahaja.
  • Anda hanya bawa 2-3 pasang pakaian sahaja dan pakai pakaian yang sama untuk beberapa hari.
  • Anda membasuh pakaian di dalam sink di hostel setiap hari.
  • Setiap benda yang anda miliki boleh dimuatkan di dalam backpack anda.
  • Anda berkawan dengan orang baru setiap hari.
  • Anda tidak kisah atau peduli berkongsi bilik tidur dengan 6-7 orang yang tidak dikenali setiap malam di hostel.
  • Air panas dan aircond adalah satu kemewahan ketika backpacking bagi anda.
  • Anda sering komplen. €7 untuk semalam di hostel – murah! tetapi €7 untuk makan malam – mahal nak mampus!
  • Anda tidak shopping. Paling kuat anda beli keychain atau fridgemagnet untuk diri anda sendiri sahaja.
  • Anda berasa pelik jika dikelilingi oleh orang yang bercakap bahasa yang sama dengan anda setiap hari.
  • Pengangkutan utama anda ialah, berjalan kaki diikuti dengan bas, kemudian keretapi.
  • Anda pulang dengan membawa contact rakan-rakan baru dan bukannya barangan shopping atau souvenir.

Sumber: Klik disiniDi sini dan How To Be A Real Backpacker di sini

Itu adalah sedikit daripada intipati menjadi atau menggelarkan diri anda sebagai “backpacker” sejati. Sekarang ni ramai benar backpacker jadian atau klon ni. Saya tidak kisah anda memanggil trip anda sebagai backpacking dan diri anda sebagai backpacker, namun bagi backpacker sejati, diorang senyum jer tengok cara anda backpack.

 

 

Saya dah lama tidak backpacking. Seingat saya pada usia 22 tahun saya mula backpacking keliling Malaysia. Waktu tu belum berani keluar negara, lagipun duit tak ada. Jadi dengan gaji 3 bulan yang saya kumpul ketika mula bekerja maka dapatlah saya pusing semenanjung dalam masa 10 hari bermodalkan RM470.00 ketika itu.

Kemudian di tahun berikutnya saya mulakan langkah ke negara jiran Thailand utk ambik feel dulu. Maka backpacking dengan 2 orang rakan naik keretapi dari KL ke Bangkok dan Yangon selama 10 hari juga, dengan bermodalkan RM800.00. Kemudian barulah ke negara-negara jiran lain seperti Indonesia, China dan lain-lain sedikit demi sedikit dengan tempoh yang lebih lama seperti 2 minggu hingga sebulan untuk setiap trip.

Namun hari ini saya tidak lagi menggelarkan diri saya sebagai backpacker. Walaupun saya masih menggalas backpack, travel sendiri bersama isteri dan anak, namun kami lebih sedikit mewah berbanding dulu. Tidur sebolehnya di hotel atau homestay yang elok. Naik bas pun sekali sekala, lebih banyak naik train dan sebagainya. Walaupun kebanyakan kriteria travel saya masih sepadan dengan yang disenaraikan di atas, namun saya masih anggap yang saya ni travel sendiri sahaja. Malu nak gunakan terma backpacker tu.

Bukannya saya nak melabel, membezakan, mengutuk atau melecehkan orang yang nak pergi travel secara backpacking atau yang buat pakej backpack ni,pergilah, duit anda. Cuma saya hendak ceritakan dan memahamkan maksud sebenar atau intipati sebenar seorang backpacker. Saya mahukan lebih ramai anak muda atau adik-adik yang berani keluar mengembara melihat dunia secara solo atau seorang diri ataupun berdua sahaja. Tidak bergantung kepada orang lain. Berdikari dan mencabar diri. Ini kerana dengan keberanian dan semangat yang tinggi maka anda layak menjadi backpacker sejati dan pengalaman kembara anda akan membentuk anda menjadi seorang yang lebih kental dan berjaya.

Saya juga tahu yang memang sudah ramai backpacker sejati di Malaysia. Yang perempuan pun dah ramai. Kalau zaman saya dulu nak jumpa seorang perempuan pun payah gila, itu pun kalau ada mesti amoi. Sekarang ni perempuan melayu sudah menjelajah dunia secara backpacking seorang diri. Tahniah, anda memang hebat dan layak dipanggil atau digelar sebagai seorang backpacker.

Dulu, ketika muda remaja dan belum berpunya, saya juga backpacker, dulu lah…sekarang tak lagi.

Adakah anda seorang backpaker klon atau sejati?

ENTAHLAH, I Dont Know.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.