Bakar ayam dalam tin

0
17

IPOH: Ramadan ibarat syurga bagi menu unik dengan pelbagai teknik khusus digunakan untuk mencipta kelainan masakan termasuklah memasak pelbagai juadah istimewa menggunakan pasu, buluh atau tempayan.

Faran Yusoff, 47, tidak ketinggalan mencipta keunikan itu apabila memilih tin alumunium sebagai ‘dapur’ untuk menyediakan menu ayam bakar di gerai miliknya di Station 18, di sini.

Bukan sekadar kelainan, kaedah itu sebaliknya terbukti menambah kelazatan ayam bakar dihasilkan terutama dari segi aroma, selain daging ayam tidak hangit, isi lebih lembut dan `jus’ yang terdapat pada daging juga tidak hilang.

Tidak hairanlah 20 ekor ayam yang siap dibakar menggunakan kaedah tin alumunium di gerai Ayam Tin Sujiha milik Faran, habis dijual dalam tempoh kurang setengah jam.

Faran mengakui teknik membakar ayam dalam tin di gerai miliknya seolah-olah menggunakan konsep ala pengebumian, malah lokasi gerai yang dibuka betul-betul bersebelahan tanah perkuburan itu turut menguatkan persepsi berkenaan.

“Kaedah saya gunakan ini memang menggunakan konsep seperti pengebumian iaitu lengkap dengan peralatan seolah-olah seperti keranda, lahad, kapan dan tiang untuk membakar seekor ayam.

“Konsep ini bukan nak takutkan pelanggan, sebaliknya memberi satu kelainan dan alhamdulillah ia berjaya menarik perhatian pelanggan sehingga sanggup menunggu serta beratur panjang bagi mendapatkan juadah berkenaan,” katanya.

Mengenai nama Sujiha, Faran berkata ia sebenarnya singkatan yang membawa bermaksud ‘suci jiwa dan hati’.

Proses penyediaan

Mengulas penyediaan menu ayam bakar pula, katanya dia menggunakan kari sebagai bahan asas serta mencampurkannya dengan beberapa rempah khas agar perencah meresap sehingga ke tulang apabila dibakar.

“Ayam ini akan diperap bersama adunan selama tiga jam sebelum dibakar dalam tin selama satu jam setengah.

“Ketika ini gerai serta konsep masakan hanya dibuat pada Ramadan dan ia mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada penduduk di Ipoh, malah turut menerima kunjungan pelanggan dari Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan yang datang semata-mata untuk merasai kelainan ayam bakar saya.

“Kami dalam proses memperkenalkan produk…bermula dengan Ipoh, perancangan selepas ini mahu membuka restoran lebih kekal serta meluaskan lagi produk di seluruh negara, malah mungkin ke luar negara,” katanya.

Ditanya mengenai idea masakan dalam tin, Faran berkata ia bermula sejak 2014 ketika berlakunya banjir besar di kawasan pedalaman di Dabong, Kelantan dan ketika itu, penduduk di kawasan rendah tidak boleh berbuat apa-apa kerana berpindah dan duduk di atas gunung (tanah tinggi).

“Ketika itu, kita memasak menggunakan apa sahaja peralatan yang ada termasuk membakar ayam dalam tin….selepas berbincang bersama seorang rakan, tercetuslah idea untuk komersialkan produk ayam bakar itu sehingga ke hari ini.

“Selepas membuka cawangan pertama di Pengkalan Chepa di Kelantan empat tahun lalu, kami kini bergerak ke Ipoh untuk mengembangkan perniagaan ayam bakar dalam tin ini,” katanya.

INFO:

Ayam Tin Sujiha

* Lokasi: Station 18, Ipoh

* Dibuka Ramadan bermula jam 4.30 petang

* Ayam diperap rempah ratus khas selama tiga jam, sebelum dibakar dalam tin tidak melebihi tiga jam

* Harga bergantung saiz ayam antara RM25 hingga RM30 seekor.

* Tempahan awal boleh dibuat melalui Facebook Ayam Tin Sujiha

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.