SYDNEY: Penjaring terbanyak sepanjang zaman Australia, Tim Cahill mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak antarabangsa hari ini, menamatkan karier yang membawanya beraksi di empat edisi Piala Dunia.

Penyerang berusia 38 tahun itu, yang menjaringkan 50 gol dalam 107 kemunculan antarabangsa, kali terakhir beraksi buat Socceroos apabila masuk sebagai pemain gantian dalam aksi terakhir kumpulan berdepan Peru di Piala Dunia Russia.

“Hari ini secara rasminya saya menggantung but daripada saingan antarabangsa bersama Socceroos,” tweet Cahill.

“Tidak ada kata yang dapat menggambarkan makna mewakili negara. Terima kasih kepada anda semua yang menyokong karier saya sepanjang memakai lencana Australia di dada.”

Bekas penyerang Everton itu yang muncul antara pemain terhebat Australia, bagaimanapun tidak menyatakan statusnya di peringkat kelab.

Dia menyertai Millwall dalam saingan Liga Kejuaraan England dengan kontrak jangka pendek bermula Januari lalu selepas meninggalkan kelab dari Australia, Melbourne City dalam usahanya mendapatkan tempat ke Piala Dunia.

Cahill, yang dilahirkan di Sydney oleh ibunya yang mempunyai kerakyatan Samoa, memulakan karier antarabangsanya untuk pasukan bawah-20 Western Samoa dan hanya menjadi sebahagian daripada Socceroos pada 2004 selepas berjaya melobi kepada FIFA.

Dua tahun kemudian di Jerman, dia muncul pemain pertama dari Australia menjaringkan gol di Piala Dunia, dan terus menjaringkan gol di dua Piala Dunia seterusnya pada 2010 dan 2014. – AFP

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.