LIVERPOOL: Liverpool dipercayai berjaya membawa penjaga gol AS Roma, Alisson Becker ke Anfield dengan nilai yang dikemukakan kelab Itali itu, STG66.8 juta (RM353.06 juta), hari ini.

The Reds pada awalnya membuat tawaran STG62 juta (RM329.67 juta) namun ditolak sebelum diberikan ‘lampu hijau’ oleh pengurusan tertinggi pasukan untuk memenuhi tuntutan kelab Serie A itu.

Selepas bidaan awal, Pengarah Sukan Liverpool, Michael Edwards bertindak pantas meningkatkan tawaran menyamai permintaan buat pemain yang turut diminati satu lagi kelab Inggeris, Chelsea itu.

Jika perjanjian itu dimuktamadkan, tonggak Piala Dunia Brazil di Russia menjadi penjaga gol termahal dunia sekali gus memberi jalan penyelesaian buat pengurus, Juergen Klopp menjelang kempen 2018/19.

Liverpool menyertai pemburuan untuk mendapatkan pemain di posisi berkenaan sejak persembahan buruk yang ditampilkan penjaga gawangnya, Loris Karius di final Liga Juara-Juara musim lalu.

Liverpool memiliki hubungan baik dengan AS Roma dan sudah menyatakan minat terhadap Becker, Januari lalu.

Rekod pembelian termahal dunia bagi penjaga gol ketika ini dipegang kelab Manchester City yang membayar STG35 juta (RM281.8 juta) untuk mendapatkan seorang lagi pemain Brazil, Ederson pada musim panas lalu.

Sebelum ini, Roma percaya mereka membenarkan Salah menyertai Liverpool dengan harga sederhana dan mereka pasti mahu sedikit bayaran tambahan.

Roma berdepan masalah selepas mereka dihukum kerana melanggar Financial Fair Play 2015, tetapi diselesaikan apabila menjual Radja Nainggolan kepada Inter Milan, bulan lalu dan kini berdepan tekanan untuk menjual Becker. – Agensi

Info
ALISSON RAMSES BECKER

Tarikh Lahir: 2 Oktober 1992

Umur: 25 tahun

Asal: Novo Hamburgo, Brazil

Tinggi: 1.93 meter

Posisi: Penjaga gol

Kelab: 

Remaja –

Internacional (2008-2012)

Senior –

Internacional (2013-2016)

AS Roma (2016-kini)

Skuad kebangsaan:

Brazil U17 (2009)

Brazil U23 (2013)

Brazil (2015-kini)

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.