PARIS: Pemenang Piala Dunia 2018, Perancis yang dalam perjalanan pulang ke Paris bakal menyertai perarakan bagi meraikan kejayaan mereka di Moscow.

Perancis muncul juara selepas menewaskan Croatia 4-2 pada aksi final Ahad lalu dengan pemain remaja, Kylian Mbappe menjaringkan gol keempat dan meletakkan dirinya sebagai salah seorang bintang bola sepak terkemuka di dunia biarpun baru berusia 19 tahun.

Berjuta-juta peminat membanjiri jalan raya bagi meraikan kejayaan Perancis muncul juara dengan membunyikan hon kenderaan masing-masing dan mengibar bendera Perancis manakala Menara Eiffel serta Arc de Triomphe pula disinari cahaya biru, putih dan merah yang menjadi warna kebangsaan.

Champs Elysees bakal menjadi pusat perayaan peringkat kebangsaan, kini dibersihkan untuk digunakan sebagai lokasi pasukan kebangsaan Perancis yang diarak dengan bas berbumbung terbuka kira-kira jam 1 waktu tempatan.

Ramai pengulas memberi ulasan serta fokus kepada usaha menunjukkan semangat patriotisme dan perpaduan nasional yang ditunjukkan oleh skuad Perancis yang dianggotai pelbagai kaum termasuk Mbappe dan Paul Pogba yang berasal dari lokasi sering diabaikan dan terbiar di Paris.

Pengarang akhbar Liberation, Laurent Joffrin berkata, mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan ‘di sebuah negara republik yang dikasihi – bersatu dan pelbagai, patriotik dan terbuka, negara tanpa nasionalisme.

“Kebahagiaan tanpa penghujung!” menjadi tajuk akhbar sukan Perancis L’Equipe manakala akhbar mingguan Journal du Dimanche menerbitkan edisi khas di Paris untuk meraikan kejayaan pasukan Perancis dengan tajuk “Menuju ke bintang.”

Enam stesen Metro di Paris pula dinamakan semula sebagai tanda penghormatan kepada enam pemain tonggak utama termasuk Hugo Loris iaitu ketua pasukan dan penjaga gol Perancis di Piala Dunia 2018.

Dua lagi stesen pula dinamakan sempena nama jurulatih, Didier Deschamps yang pernah menjadi ketua pasukan Perancis ketika muncul juara Piala Dunia 1998.

Deschamps menjadi individu ketiga selepas Mario Zagallo dan Franz Beckenbauer yang menang Piala Dunia selaku jurulatih dan pemain.

“Sekarang ada dua perkara penting – pertama 23 pemain sekarang kembali kepada kehidupan mereka masing-masing dan mulai sekarang mereka bukan lagi orang yang sama kerana sudah bergelar juara dunia,” katanya.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang turut menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia di Stadium Luzhniki, Moscow, dijangka meraikan kejayaan itu bersama 1,000 kanak-kanak di istana presiden, Isnin nanti. – AFP

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.