LONDON: Pemain tengah Liverpool, Alex Oxlade-Chamberlain dijangka terlepas aksi sepanjang musim baru apabila kelab Liga Perdana Inggeris ittu menyatakan mereka sudah bersedia dengan senario menyedihkan itu.

Pemain berusia 24 tahun itu mengalami kerosakan berganda ligamen lutut ketika separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang AS Roma pada April lalu dan menjalani pembedahan yang berjaya lapan hari kemudian.

“Jangkaan masa dia terpaksa diketepikan tidak didedahkan ketika itu atas permintaan Oxlade-Chamberlain, yang tidak mahu berita itu menjejaskan kempen Liga Juara-Juara Reds dan keghairahan terhadapnya,” menurut satu kenyataan Liverpool.

Pengurus Juergen Klopp memberitahu liverpoolfc.com beliau sedar bekas bintang Arsenal itu mungkin tidak boleh turun beraksi sepanjang musim 2018-19.

“Saya berasakan kini masa yang tepat memberitahu orang ramai mengenai Ox yang akan fokus untuk pemulihan kecederaannya,” kata Klopp.

“Kami sudah mengetahui mengenai perkara ini sejak hari pertama dia mengalami kecederaan itu dan selepas pembedahan, kami pasti mengenainya. Saya harap setiap orang memahami keadaan ini. Tiada perubahan, tiada kekecewaan, ia tepat mengikut jadual yang kami jangka dan rancang. Maklumat baru hanyalah kami menghebahkannya kepada umum.

“Jelas Ox tidak mahu berita ini membayangi penamat musim, secara jujurnya, kami fikir kami boleh menunggu dan memberitahu khalayak pada masa yang sesuai.

“Pemulihannya berjalan dengan lancar. Jika kami lihat dia kembali musim ini ia pasti satu bonus.”

Oxlade-Chamberlain menyertai Liverpool pada musim panas lalu dari Arsenal dalam perjanjian bernilai STG35 juta (RM186 juta) namun kecederaan itu menyebabkannya diketepikan bagi final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid dan Piala Dunia bersama England. – AFP

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.