KEPADA yang teringin menikmati lauk-pauk masakan kampung terutama ikan keli, selain puluhan jenis sambal, air asam dan ulam-ulaman, termasuk pelbagai jenis kerabu, berkunjunglah ke Restoran Anjung Keli di Kangar, Perlis berkonsepkan tradisional kampung dan moden.

Pastinya restoran milik pasangan suami isteri, Azali Salleh, 46, dan Amis Azura Abdul Majid, 46, menjadi pilihan kepada penggemar lauk-pauk tradisional. Justeru, inilah yang membuatkan restoran itu semakin dikenali sejak beroperasi 10 tahun lalu.

Restoran Anjung Keli menampilkan suasana terbuka, iaitu sambil makan boleh menikmati pemandangan sawah padi, ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Ia mampu menampung lebih 500 pelanggan setiap hari. Suasana riuh rendah umpama sedang berlangsung majlis kenduri kahwin. Kereta pelanggan bersusun di perkarangan restoran.

AZALI Salleh menunjukkan keli goreng berlada yang menjadi kegemaran ramai di restorannya. – Foto Zubir Mohd Yunus

Azali berkata, hampir semua menu di Restoran Anjung Keli adalah resipi istimewa yang diwarisi daripada arwah ibu bapanya, Salleh Ali dan Zaiton Mohd Hanafiah.

“Makanan ini jika kita rasa sedap, boleh makan, baru kita jual. Kami menampilkan tema Warisan Cita Rasa Tradisi. Jadi, kami utamakan masakan kampung untuk menambat selera pengunjung. Isteri saya bertindak sebagai penguji rasa makanan,” katanya.

Azali menambah, tiada resipi rahsia bagi menjadikan ikan keli yang dibakar atau digoreng enak dimakan, cuma mereka akan pastikan ikan yang dibekalkan itu dibasuh bersih.

“Kerja (membersihkan ikan keli) agak rumit berbanding menggoreng. Ikan yang sudah dibersihkan itu, dibungkus mengikut prosedur ditetapkan. Kami juga menggunakan rempah-ratus terpilih dan kawalan api yang betul bagi memastikan ikan keli digoreng enak serta rangup,” katanya.

INFO

Menu utama/ istimewa:

  • ikan keli goreng
  • ikan keli bakar
  • ikan keli masak lemak cili padi

Menu lain:

  • ikan selar bakar
  • ikan haruan bakar
  • kerabu pucuk selom
  • Waktu operasi: dibuka setiap hari kecuali Jumaat (10 pagi hingga 4.30 petang)
  • Alamat: Medan Sri Pulai, Jalan Padang Behor, Behor Pulai, Kangar, Perlis (berhampiran Institut Pendidikan Guru Perlis dan Institut Latihan Perindustrian Perlis)
  • Nombor Telefon: 019-4433384 & 04-9765368
  • Facebook: anjung keli

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.