7 ditahan disyaki merusuh

0
8

JOHOR BAHRU: Hanya kerana enggan menyertai kumpulan kongsi gelap, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan dua rakannya diserang hingga cedera oleh 10 lelaki lain yang tidak dikenali dalam satu kejadian di sebuah restoran dekat Taman Ungku Tun Aminah di sini, Khamis lalu.

Susulan kejadian itu, tujuh suspek warga tempatan termasuk lima remaja ditahan malam semalam, dalam dua serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam Khamis lalu, mangsa bersama dua rakannya berada di restoran itu sebelum didatangi kira-kira 10 orang lelaki tidak dikenali.

“Kumpulan lelaki itu datang dengan memakai penutup mulut dan bertanya kepada mangsa sama ada mahu menjadi ahli geng mereka atau tidak.

“Akibat menjawab tidak mahu, suspek terus menyerang mangsa dan dua rakannya dengan menggunakan parang, besi dan kayu.

“Mangsa dan rakannya melarikan diri dari kawasan itu bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Beliau berkata, akibat serangan itu, mangsa luka di belakang kepala dan bengkak di bahagian siku kiri, manakala dua rakannya yang juga berusia 17 tahun masing-masing bengkak di bahagian lengan, siku, pergelangan tangan serta jari di bahagian kiri dan luka calar di bahagian bahu kiri.

“Mangsa turut kehilangan beg tangannya dengan wang tunai kira-kira RM60,” katanya.

Bertindak atas maklumat, Mohd Taib berkata, serbuan pertama dibuat kira-kira jam 8 malam semalam di tepi Jalan Bukit Kempas 3/7, Taman Bukit Kempas di sini, dengan dua lelaki masing-masing berusia 20 dan 14 tahun ditahan.

“Kira-kira jam 11.30 malam, hari yang sama, kita menahan lima lagi suspek di tepi Jalan Putih dekat Skudai.

“Mereka yang ditahan ini berusia antara 14 hingga 31 tahun,” katanya.

Menurut Mohd Taib, hasil siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berpunca daripada perbuatan balas dendam antara dua kumpulan.

Katanya, semua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.