‘Kenyang sampai tertinggal anak’

0
9

MELAKA: “Ayah dan ibu dah balik”. Hanya itu luahan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang ditemui bersendirian berhampiran premis ikan bakar di Alai, di sini, malam tadi.

Kanak-kanak itu ditemui seorang peniaga kedai permainan pada jam 9.30 malam, sebelum diserahkan kepada pemilik kedai ikan bakar untuk mencari ibu bapanya yang terpisah.

Kisah kanak-kanak itu menjadi bualan netizen selepas ia viral di laman sosial apabila seorang pengguna Twitter memuat naik kejadian dengan keterangan ‘Gempar!!!! Dah kenyang makan ikan bakar, keluarga terlupa anak yang tertinggal ketiduran atas meja!!!!!,’.

Pemilik kedai ikan bakar itu, Irsyad Hadi Zainal, 32, berkata melihat kanak-kanak itu yang hampir menangis, dia mendukungnya sambil cuba mencari ahli keluarganya di setiap meja di kedainya.

“Disebabkan pelanggan yang ramai, saya tidak tahu kanak-kanak ini datang daripada pelanggan yang mana, sehinggalah akhirnya dia tertidur akibat keletihan.

“Saya hampir membuat laporan polis kerana tiada siapa yang datang mengambilnya sebelum menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa sebagai bapa kanak-kanak ini selepas hampir dua jam,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Irsyad Hadi berkata, sebelum kejadian, ibu bapa kanak-kanak yang dipercayai dari Kuala Lumpur itu menjamu hidangan makanan laut di kedainya bersama kira-kira 30 ahli keluarga.

Katanya, bapa kanak-kanak itu yang berusia 39 tahun akhirnya tampil dan mengambil anaknya, kira-kira jam 12 tengah malam.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya mengambil nombor kad pengenalan lelaki itu yang mendakwa sebagai bapa kanak-kanak ini.

“Sejak 18 tahun berniaga, inilah kali pertama saya berdepan keadaan seperti ini. Tidak sangka ia menjadi perhatian selepas ada pelanggan yang menjadikan ia viral di laman sosial,” katanya.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.