3 anggota ATM diarah kembali lapor diri

0
10

KUALA LUMPUR: Tiga anggota Pasukan Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikatakan masih berkhidmat sebagai pegawai pengiring bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, diarah untuk kembali melapor diri kepada ATM.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata ia sebagai tindakan susulan selepas pihak ATM menjalankan siasatan berhubung dakwaan ketiga-tiganya masih berkhidmat dengan Hishammuddin selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran.

“ATM sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan akan membuat keputusan segera mengenai status kes berkenaan.

“Buat masa ini, mereka telah diberikan arahan untuk kembali melaporkan diri kepada ATM,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kelmarin, Mohamad mengarahkan siasatan segera dilakukan berhubung dakwaan tiga anggota Pasukan Khas masih berkhidmat dengan Hishammuddin seperti didedahkan sebuah portal berita.

Laporan itu turut mendakwa dua pegawai pengiring itu adalah anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) manakala seorang lagi adalah anggota komando.

Ketiga-tiga pegawai itu dipercayai berkhidmat dengan bekas Menteri Pertahanan itu sejak 2013 dan sepatutnya tamat selepas PRU14 apabila Hishammuddin bukan lagi menteri.

Menurut laporan itu lagi, sumber ATM turut mendedahkan ketiga-tiga individu terbabit mendapat dua gaji, daripada ATM dan Hishammuddin sendiri.

Sementara itu, ATM dalam satu kenyataan, semalam, mengesahkan tiga anggota Pasukan Khas itu sudah ditamatkan penugasan sebagai pengiring rapat Hishammuddin selepas PRU14.

Menurut kenyataan itu, ATM juga sudah melaksanakan siasatan terhadap dakwaan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perkara itu terbukti benar.

2653 dibaca
MOHAMAD Sabu. – Foto NSTP

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.