‘Emas Malaysia kena rompak’

0
9

JAKARTA: “Rompakan emas di siang hari”. Itu reaksi Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin selepas kekalahan taruhan utama emas negara, Mohd Al-Jufferi Jamari di pentas final.

Al-Jufferi meninggalkan gelanggang di pusingan ketiga ketika menentang lawannya dari Indonesia, Komang Harik Adi Putra dalam kelas E (65kg ke 70kg) dengan perlawanan berbaki dua saat dan juri memberikan kemenangan 4-1 kepada peserta tuan rumah.

“Apa yang saya risaukan akhirnya berlaku apabila terdapat ketidakadilan daripada juri Korea Selatan dan Laos.

“Jadi saya meminta Jufferi meninggalkan gelanggang,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Al-Jufferi turut menegaskan kekalahannya adalah disebabkan ketidakadilan juri.

“Perlawanan tadi sememangnya tidak adil dan sebagai Olahragawan Negara saya tidak boleh menerimanya dan tidak meneruskan perlawanan,” katanya.

Sukan subjektif berkenaan pertama kali dipertandingkan di Sukan Asia dengan Indonesia mendominasinya.

“Jika ini keadaannya, saya percaya empat tahun lagi di China, ia mungkin tidak akan dipertandingkan,” katanya.

Kekalahan berkenaan mencetuskan kemarahan Al-Jufferi yang dilihat menumbuk dinding penghadang bilik persalinan.

“Ia adalah sifat amarah yang semua orang ada…saya tidak boleh terima kekalahan namun saya salahkan juri yang tidak menjalankan tugas dengan adil,” jelasnya.

Turut kecundang di pentas final adalah Muhammad Faizul Mohd Nasir apabila tewas kepada lawan dari Indonesia, Abdul Malik 0-5 dalam kelas B (50-55kg).

Malaysia turut meraih gangsa dalam acara ganda putra menerusi  Mohd Taqiyuddin Hamid dan Muhammad Afifi Nordin.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.