Hadiah Merdeka untuk Malaysia

0
6

KUALA LUMPUR: Kejayaan pemain boling negara Rafiq Ismail dalam acara Masters Sukan Asia hari ini, memberikan hadian Hari Kebangsaan paling bermakna buat Malaysia.

Pada aksi final stepladder di Pusat Boling JSC di Palembang, Rafiq yang juga pilihan utama bangkit daripada ketinggalan pada permainan pertama untuk menewaskan juara edisi 2014 Park Jong Woo dari Korea Selatan 245-266,289-245 dan mengukuhkan reputasinya sebagai No 1 Asia.

Pingat gangsa milik seorang lagi atlet Korea Selatan, Koo Seong Hoi.

Terdahulu, Rafiq berada di depan dalam saingan 16 pemain acara Masters dengan mengumpul 4,005 jatuhan pin selepas 16 permainan.

Rafiq yang meraih perak dalam acara trio lelaki bersama-sama Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan, ketika dihubungi berkata: “Saya tidak berhenti berharap dan berjuang hingga ke frame terakhir.

“Saya sedar saya perlu fokus dan membuat balingan yang baik kerana Park seorang pemain yang amat berpengalaman.

“Saya gembira dapat mengatasinya kali ini.”

Pingat emas Masters lelaki adalah yang kedua dari kem boling di Sukan Asia tahun ini selepas Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Esther Cheah dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman meraih emas dalam acara trio minggu lalu.

Mereka turut meraih dua pingat perak dalam acara trio lelaki dan berpasukan wanita.

Pengurus pasukan Maradona Chok memuji ketua jurulatih Holloway Cheah dan seluruh pasukan dan berkata ia adalah antara pencapaian terbaik pasukan ini, apatah lagi apabila peganjur mengurangkan jumlah acara kepada enam pada tahun ini.

“Saya perlu memberi pujian kepada Holloway dan pasukannya. Ia satu pencapaian yang hebat dengan kedua-dua pasukan lelaki dan wanita menyumbang pingat.

“Bagi Rafiq, dia membuktikan bahawa dia adalah yang terbaik di Asia dan prestasinya semakin meningkat. Saya yakin dia mampu menyumbang lebih kejayaan buat Malaysia pada masa depan.

“Ini hadiah Hari Kebangsaan dari kami untuk Malaysia.”

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.