Haziq tangguh hasrat rakam lagu duet demi isteri

0
10

KUALA LUMPUR: Meskipun perancangan mengetengahkan lagu duet bersama isterinya, Putri Ayunda terpaksa ditangguhkan, pengacara dan penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni tetap meneruskan hasratnya menjadi penyanyi.

Haziq, 28, menjelaskan, perancangan untuk merakamkan lagu duet itu terpaksa ditangguhkan apabila Putri hamil anak kedua mereka dan dijangka bersalin bulan depan.

Sebagai ganti, pemilik nama sebenar, Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni itu memilih untuk memperkenalkan single solo ciptaan Asfan menjadi taruhan sulungnya dalam bidang nyanyian.

“Mengikut perancangan asal, saya ingin tampil dengan lagu duet bersama Putri, tetapi hasrat itu terpaksa ditunda apabila isteri dijangka bersalin awal bulan depan. Jadi, saya pilih untuk terlebih dulu tampil dengan lagu solo.

“Istimewanya, single yang membawa genre balada hibrid itu mendapat sentuhan peribadi saya sebagai penulis lirik. Saya mendapat inspirasi daripada kisah putus cinta mereka yang berada di sekeliling dan mengambil masa sebulan untuk dilengkapkan.

“Ia berkisar mengenai individu yang mengalami kesukaran untuk meneruskan kehidupan selepas ditinggalkan kekasih. Lagu itu dijangka bakal dilancarkan akhir bulan depan,” kata Haziq yang mendirikan rumah tangga dengan wanita kelahiran Medan, Indonesia itu pada Julai 2016.

Sementara itu, Haziq turut meluahkan keterujaan apabila namanya membolosi senarai awal pencalonan kategori Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH 31 (ABPBH 31) yang memulakan persaingannya, kelmarin.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka mendapat dua pencalonan pada tahun ini. Saya terharu dengan kesungguhan yang ditunjukkan kelab peminat, Geng Haziq apabila mendapat tahu nama saya berada dalam senarai

“Mereka begitu bersemangat menghasilkan poster untuk tujuan promosi. Sukar untuk saya mengungkap perasaan itu dengan perkataan. Semangat jitu yang diberikan Geng Haziq membuatkan saya berazam untuk terus memberikan yang terbaik.

“Saya tidak meletak harapan tinggi, malah berada dalam senarai awal dua kategori itu sudah cukup membuat saya berbangga kerana kerja keras saya dinilai dan dihargai,” kata Haziq.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.