HSB tak benarkan ibu bersalin ditemani

0
7

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan tidak lagi membenarkan ibu bersalin ditemani individu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, berkuat kuasa mulai semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata langkah itu terpaksa diambil susulan kejadian seorang lelaki berusia 23 tahun mengamuk selepas permohonan untuk isterinya bersalin secara pembedahan tidak diluluskan pihak hospital, Sabtu lalu.

Katanya, pihak hospital membuat keputusan itu selepas mendapati ibu berkenaan tidak mempunyai indikasi untuk bersalin secara pembedahan menyebabkan suaminya bertindak menumbuk dan merosakkan pintu bilik bersalin serta tidak mengendahkan arahan menunggu di luar wad selepas insiden berlaku.

“Susulan itu, HSB mengambil tindakan memberhentikan sementara kebenaran menemani isteri bersalin untuk menyemak semula prosedur kebenaran peneman kepada ibu bersalin supaya kejadian sebegini tidak berulang.

“Pihak hospital juga membuat laporan polis berhubung kejadian ini dan lelaki berkenaan akan dipanggil untuk berbincang bagi mengenal pasti sebarang masalah yang menyebabkan dia bertindak sedemikian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wanita berusia 24 tahun itu datang ke HSB pada jam 8.27 malam Jumaat lalu, sebelum berlaku kekecohan di wad membabitkan suaminya pada jam 1.15 pagi, Sabtu lalu.

Notis mengenai larangan itu tular di laman sosial sejak semalam dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai yang mendakwa tindakan lelaki itu menyebabkan mereka tidak dapat membawa peneman selepas ini.

Dr Norhizan berkata, wanita itu selamat melahirkan bayi keduanya secara normal dan kedua-dua ibu dan bayi sudah dibenarkan pulang.

“Sehubungan itu saya ingin menasihatkan ahli keluarga kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sama ada di hospital atau klinik supaya mengawal diri bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berulang.

“Kerjasama serta bantuan semua pihak adalah perlu bagi pihak kami untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik buat semua pesakit,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.