Hubungan dua hala Vietnam-Malaysia diperkukuh – Duta

0
5

KUALA LUMPUR: Sejak 45 tahun lalu, hubungan dua hala antara Vietnam dan Malaysia terus berkembang dan terjalin dengan harmoni, kata Duta Besar Vietnam ke Malaysia, Le Quy Quynh.

“Saya percaya di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perkongsian serta kerjasama strategik antara Vietnam dan Malaysia akan terus kukuh,” katanya pada majlis resepsi di Kedutaan Vietnam di sini, sempena Hari Kebangsaan ke-73 yang disambut setiap 2 September.

Perdagangan dua hala kedua-dua negara pada 2017 bernilai kira-kira AS$11 bilion, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 19.06 peratus, usaha sedang dipergiatkan untuk meningkatkan lagi nilai perdagangan kepada AS$15 bilion menjelang 2020 di bawah Pelan Tindakan Vietnam-Malaysia (2017-2019).

“Vietnam sebuah negara ekonomi terbuka dan dinamik. Momentum ekonomi Vietnam terus kukuh kerana kestabilan makroekonomi,” katanya sambil menambah ekonomi Vietnam diramal terus bertambah dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berkembang 6.8 peratus tahun ini.

Quynh berkata, kerajaan Vietnam mengalu-alukan kehadiran Dr Mahathir ke Forum Ekonomi Dunia mengenai ASEAN 2018 di Hanoi dari 11 hingga 13 September.

Bertemakan “ASEAN 4.0: Keusahawanan dan Revolusi Perindustrian Keempat”, forum itu akan menumpukan kepada keusahawanan dan Industri 4.0 untuk memenuhi kepentingan bersama negara ASEAN.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta para pegawai pentadbiran tempatan, duta besar, dan wakil masyarakat Vietnam. – BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.