Najib dipanggil ke pejabat AMLA PDRM

0
6

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dipanggil ke pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, pagi tadi.

Beliau dilaporkan hadir bersama peguamnya ke pejabat AMLA, bagi membantu siasatan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekitar jam 10 pagi.

Sumber berkata, Najib dilaporkan memberikan kerjasama sepanjang siasatan dilakukan sehingga proses berkenaan dilaporkan selesai sebelum tengah hari tadi.

“Siasatan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) Polis Diraja Malaysia.

“Pada masa ini proses mengumpul segala maklumat masih dijalankan sebelum tindakan susulan dilakukan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu berkemungkinan dipanggil lagi sekiranya ada keperluan namun enggan mengulas lanjut secara terperinci mengenai proses siasatan dan rakaman percakapan yang dilakukan hari ini.

Sebelum ini, Najib berhadapan dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram di bawah AMLA 2001 dan empat tuduhan lain terdahulu yang dipinda berhubung dana RM42 juta milik SRC International yang berada dalam akaun peribadinya.

Tiga deposit itu masing-masing berjumlah RM27 juta dan RM5 juta dan RM10 juta dimasukkan ke dalam akaun AmIslamic miliknya antara 26 Disember 2014 hingga 10 Februari 2015.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan dicatatkan.

Mengikut pertuduhan berkenaan, Najib berhadapan hukuman penjara 15 tahun dan denda sebanyak lima kali ganda jumlah wang yang digubah jika disabit kesalahan.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.