Skuad berbasikal pecut raih perak

0
9

JAKARTA: Kejutan memecahkan rekod Sukan Asia gagal diteruskan skuad berbasikal trek dalam acara pecut berpasukan apabila tewas kepada China di final Sukan Asia 2018 di Velodrom Antarabangsa Jakarta, hari ini.

Skuad pecut berpasukan negara  memecahkan rekod temasya pada peringkat kelayakan dengan mencatat masa 43.934 saat.

Bagaimanapun kayuhan mereka lebih perlahan pada saingan final apabila melakukan 44.598s yang menyaksikan China meraih emas dengan catatan masa 44.160s manakala Jepun meraih pingat gangsa.

Bagaimanapun, ia masih dianggap catatan baik ketika pertama kali skuad berbasikal trek negara diwakili Mohd Azizulhasni Awang, Muhd Shah Firdaus Sahrom dan Muhd Fadhil Mohd Zonis meraih pingat dalam acara pecut berpasukan.

Ia juga membanggakan ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley yang mengakui acara itu tidak menjadi sandaran buat pasukannya meraih pingat pada temasya kali ini.

Katanya, ini adalah kali pertama skuad itu meraih pingat sejak beliau melatih skuad berbasikal trek kebangsaan.

“Saya sangat berbangga dengan pencapaian mereka walaupun meraih pingat perak.

“Kita sedar mereka hampir menggenggam pingat emas tetapi nasib tidak menyebelahi pada perlumbaan ini. Apa yang pasti, saya anggap pingat ini adalah bonus buat kami.

“Saya percaya kita akan memperbaiki kelemahan dan memberi aksi yang terbaik pada acara yang menjadi sandaran utama seperti pecut individu dan keirin,” katanya.

Di Incheon 2014, skuad berbasikal trek negara hanya meraih satu pingat gangsa daripada Josiah Ng menerusi acara keirin.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.